Friday, September 14, 2012

Dari Penyengat Ke Benua Jawi



Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mengambil kuasa melampau ke atas para blogger sehingga kami boleh dipenjarakan pada bila-bila saja melalui pindaan pada Akta Evidence 1950. Kami tak ada arah melainkan terus menulis dan rela dipenjarakan kerana benar.

BN nampaknya akan tewas pada pilihanraya ini. Akibat gohed-gostan sehubungan Akta Evidence baru-baru ini, PM Najib dipandang umum sebagai kurang berkuasa.

Meskipun Pakatan akan menang, kerana Pas memperjuangkan Negara Islam yang otoritarian, maka sama-sama kita tahu bahawa kemenangan Pakatan tidak merupakan satu solusi kepada masalah sosio-politik yang dihadapi di Malaysia, tambahan dalam suasana tegang yang sedang beransur nyata dalam Pertembungan Tamaddun di antara Barat-Islam dan Barat-Cina yang telah sampai ke mari.

Jikalau perang meletus, dalam keadaan perpecahan kaum yang telah melanda negara, Malaysia dikira tak mempunyai harapan untuk mengelak kekacauan perkauman dan seterusnya tewas jika diserang.

Oleh yang demikian, penulis menoleh kembali ke arah Bangsa Jawi yang sekarang sedikit sekali diketahui orang Malaysia, khusus oleh orang “Melayu” sendiri.

---Diwal---

“Diwal” yang disebut dalam karangan Raja Ali Haji, Tuhfatu’l-Nafis, bermakna ‘Rumah dewa-dewa’ atau kuil pusat seperti yang masih berdiri pada Bukit Betong, Pahang, tanpa berhala-berhalanya.

Sebuah lagi seharusnya berada pada Kuala Pahang, menurut seorang pegawai kolonial Inggeris yang menulis pada JMBRAS. Kuala Pahang juga pusat dagangan pada zaman yang lampau, yakni semasa pedagang Melaka akan memudik Sungai Muar sampai ke Johol dan dari Johol menyambung pelayaran melalui Sungai Serting ke Sungai Bera dan ke Sungai Pahang, seterusnya ke Lautan Cina Selatan melalui Kuala Pekan.

Pahang kelihatan lebih Hindu daripada Hindu-Buddha pada zamannya, satu zaman yang asasnya mungkin memutik pada abad kedua/ketiga Masihi dan berterusan sampai ke zaman Maharaja Perba Jelai pada awal abad ke 19 sebagai sampingan agama Islam.

Islam sudah bertapak kukuh sebagai pemerintah di Johor sejak zaman Tun Habib Abdul Majid menjadi Bendahara pada abad ke 17.

Enam orang raja di Empirituria Johor-Riau-Lingga kemudian terdiri daripada anak-cucu beliau, menjadikan wilayah besar Melayu terang-terang takluk rejim Arabiya-Islam yang kekal-cekal sampai sekarang.

Setelah Lingga terpisah akibat Perjanjian British-Belanda 1824, tempat rajanya diganti oleh Raja Perlis, berarti enam daripada sembilan raja-raja Melayu di Semenanjung masih terdiri daripada keturunan Tun Habib Abdul Majid dan beliau adalah cucu Habib Abdullah al-Aydarus, Aceh.

Raja-Raja keturunan Arab inilah barangkali bertanggungjawab mentakrifkan Bangsa Melayu sebagai bangsa yang semestinya beragama Islam seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Malaysia sedangkan sebelum Merdeka kebanyakan orang-orang yang sekarang ditakrifkan sebagai Melayu, adalah berbangsa Jawi.

Pada orang-orang Jawi, acara melafazkan dua kalimat syahadat disebut ‘masuk Melayu’, manakala khatan pula disebut sebagai ‘masuk Jawi’. Oleh yang demikian, anggota Bangsa Jawi kembali menjadi Jawi setelah berkhatan. Jawi punyai ajaran agama tersendiri dan tidak semestinya beragama Islam.

Sekolah Agama [Islam] pada masa itu disebut “Sekolah Arab”, menandakan ianya bukan institusi pribumi.

Di Aceh terdapat Hikayat Poecut Muhammad yang meriwayatkan kisah adik Sultan berperang dengan seorang Arab yang telah mendirikan kerajaannya berpusat di seberang sungai daripada istana raja. Konfliknya dilihat sebagai konflik Jawi-Arab.

Tidak syak Islam bukan diterima bulat-bulat oleh mereka yang sekarang ini ditakrif sebagai “Melayu”. Sebaliknya, pada tahun 1950an majoriti menolak agama yang tertakluk pada bahasa dan adat-istiadat Arab ini dan yang dipandang hanya sebagai “hak Raja”.

Apabila ‘hak raja’ itu didukung bersama oleh kerajaan pusat, tambahan pada kepimpinan Dr Mahathir Mohamed yang memperkenalkan undang-undang jenayah Islam, maka resistance terhadap Islam semakin hari semakin lemah. Diterima Baik

Islam diterima baik pada masa ketibaannya. Dibayangkan pada Hikayat Raja-Raja Pasai pertembungan Islam dengan Agama Hindu sebagai suatu pertembungan di antara satu agama yang telah kerosakan kerana amalan tantrik dengan agama simple yang mendatang dan didukung oleh diaspora Arab/Farsi/Gujerat.

Manakala kepercayaan Hindu berasaskan avataram yang menjadikan raja atau pemerintah sebagai penjelmaan Tuhan atau dewa-dewa, pada Islam yang bahari raja atau pemerintah hanyalah pesuruh Tuhan dan abdiNya, saytu perbezaan di antara monism dan dualism.

Kuasa, kata seorang pujangga Inggeris, adalah korup dan kuasa yang mutlak akan korup secara mutlak.

Pada penghujung zamannya, korupsi etika dan budaya Raja-Raja Hindu telah menggila. Adityawarman, pengasas Pagar Ruyung, memasyhurkan dirinya sebagai seorang Bhairawa, yakni Manusia-Tuhan (Dewa) dan proklamir dia telah membunuh sebilangan rakyat, minum darah dan makan daging mereka supaya membuktikan dia adalah bayangan Tuhan dan semua hendaklah takut padanya.

Pada Hikayat Raja-Raja Pasai, Raja Perumal-Perumal hendak mamah anak-anak daranya dan dia membunuh abang mereka yang melindungi mereka, kemuncak kegilaan yang barahnya menumbuh kerana mahu menjadi bayangan/penjelmaan Tuhan, yakni diktator mutlak.

Pada Islam, setinggi-tinggi manusia tetap manusia dan serendah-rendah Tuhan kekal Tuhan. Tidak pada agama Hindu Tantrik. Ini yang menghantui sebilangan ksatriya Hindu, yakni kerana mereka mahu menjadi penjelmaan Tuhan.

Dalam pertemuan dan pertembungan antara Hindu yang korup itu dan Islam yang simple, toleran dan berperikemanusiaan seperti yang kita dapati pada pembawaan Wali Songo dan juga oleh Syeikh Ismail Pulau Besar, Melaka, yang merupakan keturunan Syeikh Abdul Kadir Jilani, ajaran simple yang menyibarkan Islam dengan kelembutan sifat-sifat ketulusan (sidiq), amanah, tabligh dan bijaksana (fatanah), justeru, tidak mungkin dibandingkan dengan ajaran Hindu yang ditakluk oleh nafsu kuasa pada zaman keruntuhannya. Agama tak boleh dipaksa.

Islam diterima ramai dan dengan kekuasaan terkumpul diaspora Arab yang kaya, agama Arab ini pantas kesibaran. Namun, pada yang umum, Islam hanyalah sebagai agama nominal dan dipandang sebagai “hak Raja”.

Di antara mereka yang menjadi misionarinya terdapat yang berjaya mendirikan balatentera dan menewaskan kerajaan-kerajaan Hindu atau Hindu-Buddha, seperti Demak yang berperang melawan Majapahit. Diaspora Arab

Diaspora Arab telahpun membawa lebih 2,000 orang pedagangnya ke Kanton sebelum kelahiran Nabi Muhammad. Demikian lagi, terdapat lebih kurang jumlah yang sama orang-orang Arab di Sumatera dan Jawa (Zabaq) menurut penyelidikan sarjana-sarjana tertentu.

Ini bermakna Islam punyai orang-orang Arab kaya yang menjadi penyambutnya di Selatan dan Asia Timur.

Mereka inilah yang memberi sambutan dan biaya kepada mubaligh-mubaligh Islam, khususnya kepada keturunan Nabi daripada Hadramaut yang mendukung missi keluarga mereka.

Anggota keluarga ini telah menuju ke Afrika, Farsi, India dan kepada Kepulauan dan Semenanjung Melayu, membawa dagang, ajaran Islam yang simple dan seterusnya mengambilalih melalui intrigue atau mendirikan kerajaan-kerajaan, mahupun dengan senjata, sampai ke Manila.

Sejarah pergolakan besar ini yang kita diajar di sekolah dan pada kolej adalah tidak tepat. Kerana itu sikap yang terbina pada masyarakat Muslim di Malaysia pun senget macam kapal yang tetap karam.

Konon Islam tersibar kerana kekeramatan mubalighnya dan bukan kerana kebijaksanaan dan pengalaman mereka mengatur langkah beroleh kekayaan dan kuasa, termasuk melalui perang.

---Majoriti Menolak---

Majoriti orang Melayu sebelum merdeka menolak ajaran dan undang-undang agama seperti yang diamalkan sekarang. Mereka hanya menurutinya secara zahir supaya menghormati “hak Raja”. Ajaran dan undang-undang Islam disifatkan sebagai “hak raja” atau “hak kerajaan”.

“Hak Raja” ini terhapus di Sumatera melalui Revolusi Sosial yang mencetus berikutan proklamir kemerdekaan Indonesia pada 17 Augustus 1945, membawa kepada penghapusan Raja-Raja yang tidak mendukung Republik pimpinan Sukarno dan Hatta.

Semua Raja-Raja “Melayu” yang memilih untuk bekerjasama dengan Belanda dibunuh, mengakhirkan zaman kebenggeluan agama dan ideologi yang masih menjadi satu masalah pada bangsa Melayu di Malaya.

Thawalib (kolej-kolej Islam) berubah haluan dan dengan rela menerima tanggapan dan arah Sosialisma dan Nasionalisma.

Jiwa bebas yang melahir pada Revolusi Sosial itu menghidupkan kembali keterbukaan bangsa Jawi dan di Indonesia pemikiran Barat seterusnya menular, satu perkembangan yang memperkayakan pemikiran masyarakatnya, satu perkembangan yang akhirnya membolehkan bangsanya menerima Reformasi dan Demokerasi ala Barat.

Dipengaruhi Revolusi Sosial di Sumatera, kebanyakan orang-orang Melayu di Malaya pada masa itu mengenalkan diri sebagai “Orang Jawi”. Pada mereka, bila seseorang bersyahadah dalam Bahasa Arab dia dikata “masuk Melayu”, tetapi bila dia berkhatan dia kembali “masuk Jawi” - satu protes umum terhadap Islam-Arabiya yang semua orang menghafalkan bacaan-bacaan untuk bersalat dan berdoa tanpa mengerti apa yang dihafalkan itu.

Malangnya "Jawi" tidak ditakrifkan.


Sekarang kita hanya ketahui aksara Arab-Melayu sebagai [Tulisan] Jawi manakala Bangsa Jawi sudah samasekali luput daripada kesedaran.

---Jawi---

Pada orang Jawi perkataan “Jawi” berasal daripada pohon Jawi-Jawi atau Jejawi yang disebut di Semenanjung sebagai pohon Beringin (Waringin) seperti pada Beringin Songsang. Ini boleh ditemui pada buku Negarakertagama.

Pada Negarakertagama juga akan didapati catatan sehubungan Candi Jawi (di Jawa Timur) yang didirikan oleh Kertanegara, Raja Singhasari yang terakhir. Beliau bersama anak menantunya, Wijaya, adalah wira-wira yang berjaya mencabar dan menewaskan balatentera Kublai Khan yang datang menyerang Singhasari pada hujung abad ke 13. Wijaya kemudian mengasaskan Majapahit.

Keutuhan dan kebesaran bangsa-bangsa “Melayu” di Gugusan Kepulauan dan Semenanjung Indonesia tidak dan belum pernah menjangkau lebih daripada yang dicapaikan oleh Kertanegara dan Wijaya serta, kemudiannya, Patih Gajah Mada.

Pada telapak mereka itulah terletak zaman kegemilangan bangsa yang berani mendirikan rumah dipantai dan dilambung ombak, bukan pada zaman yang berseloka panjang dalam bahasa Arabu dan berdoa sampai dua kilometer panjangnya bila dihadiri raja. Macam asap sampah.

Kegemilangan itu mendakap kegemilangan budaya dan tamaddun yang terbayang di Semenanjung pada keperibadian, budaya dan pemerintahan Cik Siti Wan Kembang atau Udruga Wijaya Malasingha, dan anak angkatnya, Puteri Sa’adong.

Semuanya adalah bangsa Jawi. Dengan membina Candi Jawi, Jayakertanagara mengkuduskan (sanctified) bangsa itu buat selama-lamanya.

Kelantan/Patani, kebetulan, adalah wilayah Majapahit II, dulu ditaburi Bangsa Jawi, bukan Bangsa Melayu yang bersyahadah dalam bahasa Arabu dan mesti beragama Islam-Arab.
Berapa keratkah manusia Melayu yang benar-benar memahami agama Islam yang mereka menuruti dengan ketaatan dan keasyikan yang sungguh luarbiasa itu?

Kata Prof. Emeritus Isahak Haron daripada UPSI, 90 peratus tak faham apa yang mereka membaca dalam salat!

To what destiny can the blind lead the mute?

Pegangan Bangsa Jawi adalah pada Beringin Songsang saja, yakni satu simbol umum semua “agama langit”. Ia bagai "The Kindom of Heaven".

Beringin Songsang adalah satu fahaman universal yang dirujuk dalam Bhagavad-gita 15:1. Seluruh Bab 15 Bhagavad Gita adalah mengenai ajarannya.

Krishna berkata: Terdapat pohon Ara (Ashwatha/Banyan) yang akarnya menjalar ke atas dan dahan-dahannya ke bawah manakala daun-daunnya adalah zabur-zabur Veda. Sesiapa yang mengenali pohon ini kenalilah ia Veda-Veda.

Ashwatha adalah pohon Ara.

Seperti yang telah menjadi kebiasaan pada benua Jawi, setiap sesuatu ajaran yang mendatang akan diubahsuaikan supaya seiring dengan citarasa sendiri. Maka pohon Ara itu pun dipindah kepada pohon Beringin (Waringin). Seterusnya, ajaran Hindu dicantum di antara Siwa dan Vishnu, kemudian dengan ajaran Buddha seperti yang terdapat pada candi-candi binaan Kertanegara.

Perkembangan inilah yang akhirnya melahirkan karangan Tantular yang mengandungi kata-kata hikmat yang menjadi inspirasi falsafah negara Indonesia, Bineka Tunggal Eka, yakni Kesatuan dalam Pelbagaian, atau kompositi – satu jaminan toleransi, persefahaman dan saling hormat-menghormati yang menjadi asas ketamaddunan dan supaya melahirkan satu bangsa/negara berasaskan pelbagai ajaran, adat dan falsafah.

Bangsa “campuran”, atau lebih tepat, bangsa komposit itulah yang dikenali sebagai Bangsa Jawi sampailah kenalan itu diketepikan oleh UMNO, perlembagaan dan kerajaan Malaya/Malaysia merdeka.

Beringin Songsang adalah satu simbol yang menerangkan dengan mudah hakikat ‘agama langit’. Sebagai simbol agama langit, Beringin Songsang adalah universal dan keterangan yang barangkali sepaling mendalam mengenainya kelihatan pada Pythagoras (lahir 570 BC), seorang pendukung ajaran Nabi Idris (Hermes) dari bangsa Yunani yang kontemporari Gautama Buddha (lahir 563 BC).

Bhagavad gita dikarang pada kurun ke 2 Sebelum Masehi barangkali.

Konsep ini terdapat pada Veda sebagai Ashwatha atau pohon Ara atau Bodhi dan Veda boleh jadi sudah dikarang pada 1,800 BC (ada yang letaknya pada 2,500 BC). Ertinya, kitab dan ajaran itu boleh jadi sama tua dengan Nabi Ibrahim atau paling tidak ianya sama tua dengan Nabi Musa (antara 1,800 BC dan 1,500 BC). [][]

Tarikh yang diberi di atas tak akan disetujui ramai peminat agama-agama yang terlibat. Tujuan penulis hanyalah sekadar menyatakan Beringin Songsang merupakan konsep tua dan yang membawa pendukungnya kepada idea dan budaya universal berbanding dengan Islam meskipun ianya ada pada budaya Islam juga.

Buku The Inverted Tree karangan Sri Aurobindo, filasuf nasionalis/universalis India, boleh dimuat-turun melalui Internet, secara percuma.

Ajarannya tidak hadapi sebarang masalah bahasa, seperti Islam yang terpenjara oleh bahasa Arab sehingga lemas kita melihat sebilangan Melayu berlumba-lumba untuk menunjukkan kehandalan mereka menghafal ayat-ayat al-Qur’an al-Karim dan juga al-Hadith sedangkan mereka tidak mengerti sepatah haram ayat-ayat yang dihafalkan.

Itu tipu diri, a social idiotization, sedangkan agama itu adalah agama Raja atau Kerajaan dan lebih menjadi satu acara kawalan sosial dan bukan satu ideologi yang kemas mahupun yang terang.

Islam kini perlu dihadapi sebagai dukungan Parti Pas dan mencabar kita supaya membuat kesimpulan bahawa Pakatan, kerana ada Pas di dalamnya, tidak menjadi satu solusi masalah politik dan sosial yang dihadapi di Malaysia.

Kini, setelah beduk diketuk untuk menandakan Maha Perang mungkin berlaku dan seluruh kawasan lautan Cina Selatan, kata Republik Rakyat Cina, dia yang punya, maka mahu tak mahu kita perlu akui Malaysia berpecahbelah dan bangsa Melayu telah berkecaian, yakni Malaysia terdedah dan mudah ditakluk semula.

Pada Singhasari dan Majapahit, sebagai Bangsa Jawi bangsa ini telah pertahankan negaranya daripada serangan raksaksa Kublai Khan, seterusnya mendirikan empirituria yang lebih besar daripada Eropah.

Adakah apa-apa pada kita yang boleh menjamin perpaduan dan kekuatan seumpamanya? Islam? Melayu? Atau senapang Styer setelah 55 tahun merdeka? Allahu Akbaru ma fi kalkul lughatu'l-'Arabah! It's tough!----a. ghani ismail, 19 Aug. 2012

No comments:

Post a Comment