Friday, September 14, 2012

Melayu No Contest




Bekas presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah, yang kedengaran mahu menuruti dasar ekonomi pasaran bebas, eloklah memikir habis-habisan kerana kedudukan masyarakat Malaysia tidak sama dengan Amerika Syarikat yang kebetulan mendakap agihan pendapatan di antara yang paling tidak adil di dunia.

Baru saja Presiden Obama cuba membantu lebih 36 juta warga Amerika beroleh liputan insuran yang jika tidak diberi kepada mereka melalui intervensi kerajaan jumlah warga yang tersebut tak mampu membiayai insuran kesihatan sendiri.

Ramai di Amerika, negara kapitalisme nomor one, yang menentang tindakan perikemanusiaan dan keadilan sosial Obama. Mereka membawa dasarnya itu ke mahkamah agung Amerika untuk diuji apakah ianya tidak melanggar perlembagaan negara terkaya yang sekarang berhutang lebih 16 trillion dolar, keadaan yang seumpama telur di hujung tanduk.

Razaleigh perlu hadapi kenyataan. Sementara kita di Malaysia tidak mencumburui kaum Cina, tak mungkin pula kita menutup mata sehubungan kejayaan bangsa yang rajin, inovatif dan yang sukses dalam dagangan/industri itu tanpa sebarang intervensi kerajaan untuk mencapaikan adil immarah.

Di Indonesia, kaum Cina yang hanya berjumlah empat peratus, berjaya memiliki hampir 80 peratus ekuiti di negara itu, yakni negara Islam yang terbesar di dunia.

Lebih 60 peratus industri pembuatan di Thailand turut menjadi milik warga keturunan Cina, demikian lagi sejumlah bank-bank swasta, satu fenomena yang meliputi hampir seluruh Asean dan sekarang mempunyai Singapura sebagai pusat kejayaan kaum yang asalnya migran dan yang telah meninggalkan negara mereka untuk mencari kekayaan dan sukses.

Kaum Cina di Nanyang (Laut Selatan) telah menumbuh sebagai kaum dagangan/industri yang berjaya dan vibrant. Ia punyai struktur, adat dan peraturan lengkap untuk melindungi kemajuannya sebagai sebuah masyarakat dagangan/industri.

Kaum Cina juga mempunyai hawala, yang membolehkannya memindahkan wang ke negara-negara yang punyai wakil hawalanya tanpa melalui bank dan dengan tidak perlu menuruti sebarang peraturan atau membayar cukai untuk transaksinya.

Melayu dan Bumiputra di Malaysia samasekali bukan bandingan. Sampai sekarang Melayu dan Bumiputra belum berjaya mendirikan walau sebuah Kongsi atau Guild yang hidup aktif demi melindungi kepentingan ahli-ahlinya.

Dr Mahathir, masa beliau menjadi PM, telah arah supaya guilds atau kongsi-kongsi Melayu dan Bumiputera segera ditubuhkan. Maka sebuah guild (kongsi) peringkat kebangsaan pun diwujudkanlah, diusahakan oleh Jabatan PM dan guild itu pun melampuslah seperti sebilangan langkah-langkah lain dalam usaha untuk memajukan BCIC, yakni komuniti biznes dan industri Bumiputera.

Kalaulah guild yang dimaksudkan itu hidup bernyawa ikan, ianya menunggal dan kurang aktif.

Lain-lain guild dagangan Melayu/Bumiputra tak wujud.

Melayu mendukung Islam semata-mata sebagai kepercayaan, ritual, undang-undang dan upacara, tidak sumbangan-sumbangan Islam pada tamadun, khususnya budaya biznes seperti guilds, hawala, caravanserai, letters of credit dan lain-lain.

Pendekata, budaya dan prestasi kaum-kaum di Malaysia tidak sama. Sementara ahli-ahli politik kita berlumba-lumba untuk beroleh penerimaan Amerika dan Eropah, kita samasekali tidak boleh menafikan bahawa sampai sekarang yang ada sebagai wakil-wakil biznes dan industri Melayu dan lain-lain Bumiputera adalah golongan elita yang berguna untuk mentadbir perolehan ekuiti Melayu/Bumiputra.

Ekuiti itu sekarang kedengaran sudah kembali berjumlah lebih 22 peratus.

BCIC tak wujud selain rangka, macam rangka jebon dalam makmal sains sekolah - ada rupa tapi tak hidup.

Sebuah komuniti hendaklah mempunyai unsur struktur dan organisasi. Jika tidak kita tidak menanggapnya sebagai komuniti atau kelumpuk.

Yang ada pada kaum biznes/industri Melayu dan Bumiputera hanyalah Dewan Perniagaan atau Chambers of Commerce, yakni bumbung struktur komers/industri bangsa Melayu dan Bumiputera, tapi tiang tak ada, dinding tak ada, lantai pun tak ada.

Mampukah Melayu/Bumiputera bersaing dalam kontek Cina menjadi ekonomi nomor satu dan India nomor dua, justeru, menjadi soalan yang ternganga macam mulut harimau yang mengaum.

Dr Mahathir kurang ambil berat mengenai peruncit atau retail biznes. Tak apalah, kerana beliau tak ambil berat integrasi antara kaum.

Bagi mereka yang mahu integrasi antara semua kaum di Malaysia, cubalah melancong ke Pekan-Pekan Melayu, Pekan-Pekan India atau Little India dan Pekan-Pekan Cina di Kuala Lumpur, Seremban dan Pulau Pinang sebagai pelajaran asas dan kemudian turunlah daripada indera supaya boleh kita bicara sehubungan mungkinkah integrasi kaum-kaum Malaysia tercapai kelak menuruti lunas-lunas Satu Malaysia atau Malaysia Oh Malaysia.

Cina boleh tutup kedai untuk menjayakan hartal tanpa bantuan Melayu dan India. Ini satu kuasa strategik Cina di Malaysia yang semua akui.

Jika integrasi antara kaum-kaum tak mungkin dicapaikan di Malaysia, barangkali eloklah tokoh-tokoh politik kita diberitahu dengan tegas supaya hadapi realiti dan jangan beromongan kalau kaki tidak berpijak tanah. Model masyarakat apa yang terbayang dalam otak? Model apa? Assimilasi?

Melayu dan Bumiputera akan ditelan hidup-hidup jika tidak ada intervensi kerajaan dan model masyarakat yang tersusun menurut model yang disetujui seperti yang telah dilakukan oleh Tun Razak Hussein.

Ekonomi Malaysia perlu merupakan ekonomi campuran atau mixed ekonomi.

Memang kita perlu menuruti WTO, UNDP dan sekadarnya juga World Bank. Namun, itu tidak bermakna kita perlu melutut.

Maslahah

Maslahah (kepentingan awam/public interest) seharusnya diteruskan sebagai asas takrif politik, yakni bahawa politik adalah perolehan kuasa dan pengagihan kuasa itu untuk mencapai maslahah yang tertinggi mungkin, the highest public good, atau baldatun taibun wa Rabbun ghafur dalam bahasa Arab.

Kepentgingan awam, justeru, merupakan ukuran baik/buruk sesebuah rejim pemerintah, bukan kepercayaan atau agama, bukan omongan yang cekap dan bukan juga kuasa mutlak seperti yang hendak diamalkan semula oleh sebilangan Raja-raja menurut ucapan Mufti Perak, Harussani, pada pelancaran JATI Februari 21, 2012.

Islam dan budaya Melayu sama-sama tidak membenarkan monarki absolut atau apa juga kuasa mutlak. Setiap orang rakyat hendaklah mempunyai lorong untuk melindungi nyawa, anggota, keluarga dan hartanya daripada dizalimi, disongglap atau dirampas pihak berkuasa sama ada pemerintah civil, agama ataupun raja.

Raja adil raja disembah. Raja zalim raja disanggah. Itu berlawanan dengan kuasa mutlak. Rakyat punyai hak.

Politik turut berasaskan saingan untuk segala macam sumber atau resources sepertimana Barat telah datang ke mari untuk beroleh “rempah ratus”, kemudian bijih timah, besi dan emas dan seterusnya mereka mahu membuka pasaran untuk barang-barang pembuatan mereka dan kita diperkenalkan kepada konsumerisme.

Demikian lagi kaum Cina. Mereka yang datang pada abad ke 19 terbit ke mari untuk menceburi saingan untuk sumber atau contest for resources. Mereka terlibat secara langsung dalam Perang Perak, Sungai Ujung dan Pahang untuk bijih timah, emas dan kongsi kuasa.

Pada keperihalan ini Umno celik, Pas tidak. Pas baru memberi perhatian kepada pembangunan kerana kepimpinan Abdul Hadi Awang. Beliau, secara kebetulan, berasal daripada famili yang ceburi biznez dan industri. Tok Wan beliau adalah partner Abdul Rahman Limbong, saudagar kapal yang mengepalai Pemberontakan Terengganu tahun 1926-27 dan mati dalam pembuangan di Mekah.

Dengan kepimpinan Hadi Pas pun dapatlah sebuah bangunan tujuh tingkat di Kuala Lumpur, sebuah Kolej di Taman Melewar dan sebuah projek perumahan di Selangor.

Itu Hadi Awang. Nik Aziz lain sekali. Ada Pasar Tok Guru pun hampir masuk bicara mahkamah. Itu saja pembangunan pejal yang kedengaran dalam tempuh 22 tahun di Kelantan sejak beliau menjadi MB. Yang lebihnya kosmetik.

Pendekata, adalah terlalu ganjil bagi orang-orang Melayu menaruh harapan kepada parti hijau bermata bulat itu. Dalam kontek saingan untuk sumber yang merancak sekarang, parti itu tak guna, dan Pas tidak pun punyai konsep pembangunan.

Parti ini samasekali tidak terlibat dalam saingan untuk sumber atau resources. Yang penting padanya Hudud, Kisas, Takzir. Ooolala!

Melayu ketinggalan dalam bidang ekonomi kerana mereka tidak pedulikan perlumbaan untuk sumber-sumber. Dapat tanah Simpanan Melayu dah bersyukur. Apa macam kepentingan bangsa?

Umno Harapan Melayu


Harapan Melayu, justeru, hanyalah pada Umno, yakni jika ia punyai kesanggupan membuang yang buruk dan kembali pada yang asal, khususnya kepada perjuangan Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Mahathir Mohamed, dilihat sebagai bergu dalam keperihalan lumba untuk resources.

Tun Mahathir, meskipun pragmatik secara ekstrim dan dipandang orang telah membuka pintu gerbang rasuah dalam perkhidmatan awam, mahu tak mahu perlu diakui berjaya mempertingkatkan kaum Melayu dan Bumiputera dalam saingan untuk resources sehingga membolehkan mereka menceburi semua bidang di Malaysia, termasuk pembuatan mobil dan kapal (yang sekarang hampir berkubur).

Tak mungkin kita lupa Pak Lah telah menjual Agusta yang dimiliki Proton untuk RM4.50 sen dan kata sebilangan orang dalam Umno, milik harta yang bernilai hampir satu bilion Ringgit itu kemudian dibeli oleh menantunya, Khairy Jamaluddin dan rakan-rakan. Entah benar atau palsu. Begitulah tanggapan sebilangan ahli-ahli Umno.

Visi Mahathir membawa kita ke arah utara. Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) menuju ke selatan menyerah diri pada Singapura.

Itu pun telah jadi dalam kepimpinan Umno, bukti kukuh bahawa Umno sudah ketiadaan perpaduan fikiran dan kiblat, yakni dah menjuling dan berkaki pengkak macam koboi tua kerana ketiadaan ideologi asas.

Cawangan MCA di Ulu Yam, Ulu Selangor, adalah sebuah pusat sumber (resource centre). Ahli-ahli akan peroleh maklumat (information) yang sangat berguna.

Contohnya, pada papan kenyataan pejabat kecil itu akan dipaparkan maklumat berapa ramai pekerja binaan diperlukan pada projek-projek di Selangor atau di mana-mana lain. Permintaan untuk sejuta batu bata, 30,000 bag simen, untuk 70 buah lori mengangkut pasir an lain-lain. Matlumat sepertinya akan dipaparkan dengan nomor-nomor talipon dan nama-nama orang yang perlu dihubungi.

Demikian lagi informasi sehubungan projek-projek yang akan dilancarkan kerajaan atau swasta sekitar Selangor.

Jika kita hendak hidupkan BCIC, tentulah informasi seperti itu menjadi keperluan asas.

Apakah anda pernah ketemu sebuah pusat sumber seperti itu di mana-mana pejabat Umno atau Pas atau PKR? Di mana? Atau agensi kerajaan? Yang mana?

Antara kaum Melayu dan Cina dalam biznes dan industri Melayu terang-terang no contest pada negara ekonomi pasaran yang bebas. Perkaranya semudah itu. Kaum India pun sedang maju dalam bidangnya tapi Melayu syapadu sampai ada GLC yang hutang dan rugi berbilion-bilion. Syabas!---a. ghani ismail, 3 April, 2012

Scroll down untuk Bahagian 1 dan 2

No comments:

Post a Comment