Friday, September 14, 2012

Ke Arah Mana Melayu?



Ngilai setan menyeram semula di Tanah Melayu.

Lebih kurang 40 tahun setelah Tun Abdul Razak Hussein mengambil kuasa pada tahun 1970 dan menerokai jalan terang untuk membasmi kemiskinan dan menstrukturkan semula masyarakat, agihan pendapatan antara Bumiputera dan Bukan-Bumiputera sudah kembali cemas.

Pendapatan purata rumahtangga Cina di Malaysia, sebagai contoh, kini berada sekali ganda pendapatan purata rumahtangga Melayu, satu keadaan yang lebih berat berbanding keadaannya pada tahun 1969 manakala lebih 63 peratus Melayu berada di luarbandar (dan miskin) sedangkan kebanyakan Cina menduduki bandar-bandar.

Di Kuala Lumpur jumlah Melayu tak sampai pun tujuh peratus pada tahun 1969, termasuk PJ. Itulah tahun yang membawa tumpah darah akibat konflik perkauman.

Sekarang lebih kurang 63 peratus orang Melayu menghuni bandar-bandar di Malaysia. Namun, prestasi mereka dalam perkarangan ekonomi bandaran yang korporatis/komersyel/konsumeris ini jauh sekali daripada memuaskan, bermakna dengan ringkasnya, Melayu (dan Bumiputera) masih tidak punyai daya saingan dengan kaum Cina dan lain-lain.

Maka kerajaan menyandarkan dasar kemajuan Melayu dan Bumiputera pada golongan elita, khusus elita yang celik komerse sebagai kontrakter, biznezmen atau tokoh korporat.

Darinya lahirlah segelintir Taikong-Taikong Melayu yang dengan kerjasama saudagar-saudagar Cina dan India dapatlah sebilangan menjadi bilioner dan multimilioner.

Dengan kejayaan seperti itu lahirlah susunan masyarakat Melayu yang kelihatan bagai pucuk rebong, sayup menajam.

Dengan itu maka terjadilah adegan yang sungguh menarik bila Amanah Saham Nasional telah dilancarkan.

Hanya empat peratus orang-orang yang terkaya telah kebas 80 peratus daripada saham-saham Amanah Saham Nasional dan baki 20 peratus saham bagai hampas itulah yang dimiliki orang-orang Melayu dan Bumiputera seperti ibubapamu.

Di samping itu Dasar Ekonomi Baru Tun Razak habis diselewengkan dan projek-projek untuk kemajuan Melayu dan Bumiputera disongglap. Sebanyak 85 peratus daripada jumlah besar projek-projek itu telah meniris.

Angka yang disebut itu adalah dedahan Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) sewaktu beliau menjadi PM. Kita tidak punyai sebarang sebab untuk menyangsikannya.

Siapa yang hendak kita salahkan? Tun Dr. Mahathir Mohamad?

Kepimpinan Dr Mahathir maju akan tetapi celar kerana korupsi terbuka yang terlalu menjadi-jadi seolah-olah kemajuan mustahil dicapaikan tanpa rasuah.

Walau demikian, Dr Mahathir telah berjaya mehjadikan Malaysia sebuah negara industri dan meningkatkan pendapatan serta pendidikan sebilangan yang cukup untuk orang ramai menghormatinya.

Kadar dan tahap kemajuan yang tercapai oleh kerajaan BN pada zaman Mahathir belum pernah dirasakan di Malaysia sebelumnya. Oleh yang demikian orang ramai menyokong Mahathir meskipun semua tahu rasuah menjadi-jadi pada 17 tahun daripada 22 tahun yang beliau memimpin.

Dalam lain perkataan, kejayaan materialis yang tercapai adalah cukup untuk meluntur dan melampuskan tekad moral dan akhlak masyarakat Melayu dan lain-lain masyarakat Malaysia, bermaksud orang ramai membiarkan rasuah dan kesongglapan itu terus berlaku.

Tak mungkin Dr Mahathir seorang saja yang betanggungjawab. Mahathir kerja keras dan berjaya memperkenalkan Malaysia pada seluruh dunia sebagai salah sebuah negara yang melawan arus dan dinanti-nanti untuk menjadi negara Asean dan negara Islam pertama yang mendakap status negara maju.

Mahathir turut berjaya memberikan harapan kepada rakyat.

Zamannya menghadapi kemelesetan ekonomi yang perit berulangkali dan ditojah pula oleh ghaza matawang (currency raid) yang akibatnya sungguh dahsyat. Beliau berkeras dan beliau bertahan. Jika tidak rakyat jelatalah yang akan menanggung derita menahun.

Sekiranya kita menuruti kemahuan Anwar Ibrahim yang hendak menyorongkan negara ke bawah IMF pada tahun 1998, semua lembaga dan tabung amanah Melayu dan Bumiputera dah tetap dipaksa tutup. Ke mana destini Malaysia dan khususnya destini Melayu, justeru tentu sekali masih menggelap sampai sekarang bagai orang minyak.

Mahathir mengikat matawang Malaysia kepada dolar Amerika dan langkah itu menahan kejatuhan matawang kita sehingga meranap . Langkah itu sekaligus menyelamatkan wang simpanan rakyat dalam bank dan tabung-tabung simpanan lain, tidak seperti di negara-negara Asean lain dan di Asia Timur yang terpaksa menutup banyak bank, bermakna semua simpanan rakyat lesap dengan sekelipmata.

Urusan ekonomi, kewangan, dagangan, matawang, pelaburan dan tabungan di dunia banyak sekali karenahnya. Karenah-karenah ini bukannya jenis yang mampu diatasi melalui pelaksanaan Undang-Undang Hudud maupun dengan kita menuruti teks Dharuriyat al-Khamsa (lima keutamaan masyarakat) yang dikumandangkan oleh Imam al-Ghazali pada abad ke 12/13 Masehi.

Dunia sudah tak serupa sejak masa itu. Demikian lagi prioritas pada pentadbiran ekonomi, sosial dan geopolitik dunia. Semua sudah jauh berubah.

Meskipun nilai-nilai kemanusiaan pada Dharuriyat al-Khamsa yang diutarakan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang mungkin memenuhi maslahah (kepentingan awam/public interest) yang kita cita-citakan, alam sekitaran atau environ manusia tidak mengizin kita mendirikan keutamaan-keutamaan yang sama.

Wanita zaman sekarang mahu hak yang sama dengan lelaki dan turut mahu mendirikan kerjaya. Apakah kita masih hendak menidakkan hak wanita dan mahu supaya mereka kembali ke dapur, menjaga anak-anak dan melayan suami saja?

Penduduk bumi, yang mencapai jumlah satu bilion pada tahun 1900, kini sudah melebehi tujuh bilion, yakni tujuh kali lipatganda dalam tempuh 112 tahun.

Keutamaan masyarakat tak mungkin sama di antara masyarakat abad ke 12/13 dan sekarang.

Islam sudah jauh ketinggalan. Kesan dan akibat Inner City (Pusat Dalaman Bandaraya) pada pertumbuhan kanak-kanak dan remaja pun belum ada sebarang jawapan daripada tokoh-tokoh ulama dan ustaz-ustaz seluruh umat Islam. Inikan pula masalahnya merupakan masalah global.

Islam tidak terlibat secara langsung dalam urusan mencapai solusi untuk cabaran-cabaran zaman sekarang. Hudud yang ditagih. Apakah semua cabaran zaman akan terhapus secara automatis bilamana Hudud dilaksanakan?

Akan tetapi ini adalah keperihalan aqidah dan syariat yang agama mengutamakan. Apakah masalah-masalah duniawi lebih baik dihadapi secara sekuler dan agama bukan medannya untuk mecari solusi-solusi yang diperlukan, justeru, merupakan soalan yang tidak mungkin mahu diterima oleh mereka yang percaya agama Islam sebagai agama yang telah Tuhan sempurnakan untuk selama-lamanya.

Sementara waktu, bagi negara-negara yang memerlukan pelaburan asing, sama-sama kita tahu untuk setiap dolar yang dilabur lebih kurang lapan dolar akan dibawa pulang ke negara asal modal pelaburan itu.

Pada yang lazim semakin banyak laburan asing dimasukkan ke dalam negaramu semakinlah kau akan menjadi kurus kering, kecuali golongan yang berkuasa dan yang menelan rasuah.

Kalaulah negara mendapat laburan hedge funds pula, seperti Greece, alangkah cantiknya bunga-bunga yang kemekaran nanti – sampai bankrup dikebas olehnya!

Apa jawapan mufti-mufti dan para syaikh ul-Islam sehubungan kesonggalapan kewangan dan dana laburan seperti yang berlaku itu, dulu di Brazil, sekarang pada Greece dan beberapa buah negara Eropah lain.

Apa Islam punyai jawapan? Di mana hendak kita mencarinya?

Maka berhadapan dengan hakikat Malaysia sebagai sisa penjajah dan Melayu dan Bumiputera terbiar kelantaran di bawah rejim penjajah, maka Tun Abdul Razak Hussein, sejurus selepas beliau berkuasa pada tahun 1970, oleh beliau diperkenalkan Barisan Nasional dan Dasar Ekonomi Baru.

Kita tahu Dasar Ekonomi Baru (DEB) mendokong matlamat membasmikan kemiskinan dan menstrukturkan semula masyarakat. Itu kita dah tahu.

Akan tetapi, disebalik semua itu adalah langkah Tun Razak mengambilalih kuasa ke atas syarikat-syarikat multinasional British yang telah mereka dirikan pada zaman penjajahan dan yang memilki sebahagian besar hartanah dan hasil mahsul Malaysia.

Tun Razaklah yang berbuat demikian dengan satu kumpulan kecil tokoh-tokoh muda Melayu dan Bumiputera sehingga ibu-pejabat-ibu pejabat syarikat besar-besaran seperti Sime Darby, Guthries, London Tin dan lain-lainnya dapat dikuasai oleh dana tempatan dan sekaligus lembaga pengarah mereka diambilalih.

Itulah objektif utama nasionalisma Melayu. Itulah dia lorong yang membolehkan anak Melayu dan Bumiputera menjelajah angkasa koporat. Sampai pada masa itu sebilangan ahli-ahli Pas bersetuju dengan sayap kiri Melayu untuk menerokai dasar sekuler sebagai pendekatan untuk menangani masalah Melayu dan Bumputra yang menjadi sisa penjajahan.

Kalau tidak dilakukan sedemikian itu, haram anak-anak Melayu dan Bumiputera hendak menjejaki pengurusan tinggi dan lembaga pengarah syarikat-syarikat multinasional yang tersebut itu supaya membolehkan mereka menjadi global players.

Begitulah keutamaan sosialis, bukan keutamaan Islam dan tak semestinya keutamaan nasionalis.

Tun Razak adalah ahli Parti Buruh. Beliau bukan Komunis. Beliau sosialis yang menuruti evolusi dan bukan revolusi. Beliau tidak merampas dan memiliknegarakan sebarang harta atau syarikat-syarikat yang berkenaan. Beliau beroleh saham-saham secara pembelian pada pasaran.

Langkah Tun Razak itulah yang telah memberikan nyawa dan harapan kepada Melayu dan Bumiputera untuk menjadi pemain pada pentas global.

Maka kita perlu tanya kenapa sekarang ini sebilangan yang ramai di antara ahli-ahli Umno sudah menyombong dan dengan angkuh mereka memberitahu kita Umno tidak mahu sosialisme.

Aduh! Apakah mereka ini tahu selok-belok sosialisme atau yang disuarakan itu semata-mata bodoh-sombong orang-orang yang tidak bermoral, tidak berakhlak, dan hanya menyertai Umno untuk menjadi kaya melalui rasuah dan kesongglapan?

Inilah yang kelihatan telah terjadi pada Umno. Parti besar itu tidak lagi mempunyai sebarang landasan ideologi. Islam pun tidak, nasionalis pun tidak dan sosialis samasekali tidak,tidak, tidak. Maka oportunislah yang lekat pada dahi mereka itu. Oportunisme dalam alam serba mewah berkorupsi!

Kalau sudah tidak mahu lagi lorong ideologi Tun Razak, apakah pula jawapan yang ada pada Umno untuk membolehkan Melayu dan Bumiputera menangani cabaran-cabaran dan gejala-gejala zaman? Mana dia pemikiran-pemikiran yang bernas dan bergemilang bagai geliga itu? Siapa tokoh-tokoh pemikirnya? Siapa? [Bersambung] –a. ghani ismail, 24 Mac, 2012



No comments:

Post a Comment