Friday, September 14, 2012

Malaysia Colonisable



Pada abad ke 12 Masehi, Jayabaya, seorang raja Kediri di Jawa Timur, dipercayai meramalkan dengan tepat bahawa kepulauan Melayu akan dikuasai bangsa kulit putih yang akan menduduki gugusan kepulauan dan semenanjung ini sepanjang beberapa ratus tahun. Ramalannya meninggalkan pengaruh besar, khusus di Indonesia.

Katanya suatu Perang besar akan menyusuli dan membawa satu bangsa kulit kekuningan yang bertubuh kecil.

Jepunlah yang kemunculan dan kata Jayabaya, bangsa ini akan memerintah untuk masa yang pendek, diibaratkan sebagai setahun jagung berbanding dengan penguasaan bangsa kulit putih, atau Belanda dan Inggeris.

Sampai ke situ ramalan Jayabaya jelas tepat. Masalahnya membangkit apabila ketua pergerakan Darul Islam Indonesia, Kartosuwiryo, diberitakan mempercayainya dan kerana itu beliau lebih senang menunggu Perang Maha Besar yang konon Jayabaya turut meramalkan akan menyusuli ketewasan dan pengusiran bangsa bertubuh kecil dan yang berkulit kekuningan tadi.

Maka Kartosuwiryo pun melengah-lengahkan perancangan dan tindakan-tindakannya dalam peperangan yang beliau telah melancarkan untuk mendirikan sebuah kerajaan Islam setelah Sukarno dan Hatta proklamir kemerdekaan Indonesia pada 17 Augustus 1945.

Menurut apa yang diberitakan, Kartosuwiryo telah bekerjasama dengan “Setan Belanda”, Westerling, yang telah meragut lebih kurang 450,000 nyawa Indonesia menurut anggaran pihak Indonesia.

Namun, Darul Islam yang dikepalai Kartosuwiryo terus didukung Daud Bereueh dari Aceh, oleh Kahar Muzakar dari Sulawesi dan oleh beberapa lagi tokoh Islam termasuk dari Banjar, Samarinda dan kepulauan-kepulauan Ambon dan Ternate.

Maka kepimpinan Kartosuwiryo adalah sebandingan dengan kepimimpian Pangeran Dipo Negoro pada Perang Jawa 1825-1830 dan sebelumnya kepimpinan Yusuf Makasar pada abad ke 17.

Setiapnya berjaya menarik penyertaan yang luas, menandakan Islam pada masa itu adalah jalinan yang rapat. Itulah masanya saudagar-saudagar Arab, Gujerat dan Farsi terutamanya telah mengembangkan sayap mereka dan sama ada berjaya menjadi raja melalui intrigue atau mereka berjaya merampas kuasa kerajaan pribumi. Itulah masa imperialisma Arab-Islam di Gugusan Kepulauan Melayu bergelora.

Kartosuwiryo menempah malang dengan kepercayaannya yang bersandar pada satu baris dalam beberapa versi ramalan Jayabaya. Baris itu membayangkan suatu peperangan amat besar akan menyusuli Perang Dunia Kedua dan pada Maha Perang itu, bangsa Cina dan bangsa kulit Putih akan tinggal dua orang saja setiap bangsanya manakala separuh orang-orang di kepulauan Melayu (yakni orang Jawi) akan musnah.

Kalaupun kita percaya versi ramalan Jayabaya yang berkenaan, adalah tidak menasabah bagi Kartosuwiryo samasekali gagal bertanya kuasa besar yang manakah mampu memusnahkan bangsa Cina dan bangsa kulit putih pada masa itu?

Sebagai seorang Muslim beliau boleh bersandar pada kepercayaan mengenai kemunculan Imam Mahdi, yang tidak diketahui siapa dia, atau kepada Ratu Adil, ataupun percaya buta kepada kuasa Tuhan untuk meranapkan benua-benua kulit putih dan Cina melalui malapetaka.

Dengan kepercayaan seperti itu apa pun boleh menjadi.

Imam Darul Islam itu, Kartosuwiryo, ada yang berkata, telah memilih untuk menunggu Maha Perang yang diramalkan itu berlaku dan beliau tidak bertindak meskipun peluang terbuka untuk tenteranya menang.

Lantaran beliau menunggu sampai beliau tertiarap uzur pada dada sebuah gunung dan ditawan. Beliau dijatuhkan hukuman bunuh dan ditembak mati menjelang fajar pada sebuah pulau berdekataan pelabuhan Jakarta.

Apakah sekarang sudah tiba Maha Perang yang oleh Jayabaya diramalkan itu?

Kalaupun benar Maha Perang itulah yang akan berlaku dalam tempuh yang singkat, kita perlu tahu kuasa di dunia yang manakah mampu memusnahkan axis Atlantik kulit putih sehingga tinggal sepasang saja anggota bangsa-bangsanya.

Demikian jugalah yang perlu diketahui mengenai bangsa Cina yang jumlahnya 1.3 bilion. Siapakah yang akan memusnahkannya? Imam Mahdi? Ratu Adil? Sang Bhima? Maulana Aprak?

Yang mempunyai tenaga thermonuklear seumpama itu bersama sistem penghantaran yang setimpal dengan malapetaka buatan manusia adalah Amerika dan Rusia, bukan Republik Rakyat Cina buat seketika ini.

Bangsa Melayu apa satu pun tak ada, baik di Semenanjung, di kepulauan Riau mahupun di Sumatera. Tak ada apa satu yang setandingan.

Hanya dua buah negara itu, Amerika dan Rusia, yang mempunyai tonnage kuasa thermonuklear, jumlah warheads dan bom nuklear, serta pesawat penghantaran, yang mampu.

Kedua-duanya mempunyai keupayaan “Star Wars”, yakni balistik yang menembusi angkasalepas dengan membawa beberapa warheads setiap missile dan melepaskan roket-roket re-entry supaya menuju ke sasaran yang berasingan. ]

Mereka juga mempunyai keupayaan laser dan elektronik yang mujarab untuk mengubah cuaca serta menguasai mental manusia dan haiwan dengan mengguna gelombang radio.

RRC, walau telah berjaya memodenkan tentera dan persenjataannya dan mampu melindungi pesisiran lautannya maupun menguasai perairan Lautan Cina Selatan, ia belum mempunyai keupayaan Star Wars dan perlu sedikit masa lagi untuk sampai ke situ.

RRC mempunyai lebih kurang 60 buah kapal selam, di antaranya yang mempunyai missile nuklear dan dengannya RRC dikira tetap mampu untuk menguasai Lautan Cina Selatan tanpa campurtangan Amerika.

RRC sekarang telah membuat tuntutan wilayah yang bertindih dengan 20 buah negara berjiran pada laut dan darat, satu pendekatan mencari pasal yang efisyen. Akan tetapi ini tidak sama dengan dayatenaga memusnahkan Axis Atlantik.

Maka soalan yang kita hadapi masih sukar hendak dijawab, yakni siapa yang akan memusnahkan Amerika dan Eropah di Barat dan siapa pula yang mampu memusnahkan RRC?

Perang thermonuklear secara terbuka tetap akan melampuskan sebilangan budaya dan tamaddun yang berada di dunia ini. Sekiranya berlaku Maha Perang thermonuklear, beberapa budaya dan tamaddun akan musnah.

Itu mengenai tamaddun. Ianya tidak sama dengan apa yang terbayang oleh ramalan Jayabaya mengenai bangsa kulit putih dan bangsa Cina yang merupakan kemusnahan bangsa-bangsa.

Kita turut perlu bertanya siapakah pula gerangan yang akan melindungi Semenangjung dan Gugusan Kepulauan Melayu sehingga masih berpeluang separuh rakyatnya selamat?

Apa ada hikmat efisyen pada Raja-Rajanya? Atau Mufti-Mufti tertentu? Ataupun pada sesuatu ajaran agama Islam yang belum kita kedengaran?

Dari segi keupayaan pertahanan tak ada apa satu. Yang ada hanyalah sekadar membelasah protestors BERSIH 3.0 dan sebilangan wartawan yang bertugas seperti yang berlaku pada 28 April 2012.

Melayu di Semenajung ada apa? Exocet atau Exorcist?

Selepas 22 tahun di bawah kepimpinan Dr Mahathir, enam di bawah Abdullah Badawi dan 3.5 tahun di bawah Najib Razak, sampai ke manakah keupayaan pertahanan kita yang dulu terpaksa membeli jet pejuang siri F Amerika tanpa boleh melepas bom? Pembuatan senjata sendiri hanyalah sekadar senapang Steyr. Ada apa lagi?

Kemudian, untuk pertahanan udara kita telah berkalih kepada MIG/Sukhoi dan sekarang kepada Euro Fighters pula. Apa keupayaan pertahanan kita dalam suasana Maha Perang atau sekadar mempertahankan hak kita di Lautan Cina Selatan jika dicerobohi RRC?

Apa yang ada pada orang Melayu?

Prioriti mantan PM, Dr Mahathir, yang marah anaknya Marina menyertai BERSIH, bukan untuk pertahanan. Yang beliau hendak sangat-sangat adalah Malaysia Incorporated, satu wawasannya yang sampai sekarang beliau masih mahu Najib Razak menuruti.

Malaysia Incorporated, ikutan Japan Incorporated, akan bermakna Umno/BN berkongsi kuasa dengan kapitalis dan sama-sama menduduki Boulevard 3 di Putrajaya yang menempatkan semua kementerian.

Dengan wawasan itu, Masyarakat Madani (Civil Society) sama sekali tidak akan diberi ruang untuk bernyawa dan bertindak. Itu salah satu sebab Mahathir kena kutuk hampir hari-hari dalam tempuh beberapa tahun yang lalu, yakni selepas Civil Society hidup di Malaysia.

Mahathir tidak senang dengan Najib setelah Najib menggugurkan ISA. Mahathir mahu ISA. Buat apa? Apakah sumbangan Mahathir pada rakyat dan negara sebegitu besar sehingga berbaloi kita ditekan dengan undang-undang yang menidakkan hak asasi manusia?

Apa sumbangan Mahathir yang kekal sampai sekarang?

Malaysia sudahpun kembali menjadi negara yang bergantung kepada komoditi dan bukan kepada perolehan industri. Malahan, pada suatu ketika Jepun telah sedia untuk memindahkan kilang-kilangnya ke negara lain atau tutup saja kilang-kilangnya, yang berjumlah kurang lebih 1,600 kesemuanya.

Mahathir berjaya memperkayakan keluarganya dan kroni-kroninya, manakala tak kurang 72 peratus daripada kaum pekerja atau buruh di Malaysia berpendapatan RM1,500 atau lebih rendah.

Apakah itu kejayaan? Apakah keselamatan negara mampu dijamin dengan struktur sosial yang kelahiran melalui taburan pendapatan sepertinya, yakni segelintir kayaraya dan yang ramai keliaran terus melata pada bumi?

Apa mungkin dilakukan oleh Najib Razak untuk memperkukuhkan pertahanan dan daya ketahanan masyarakat dan negara? Atau apakah peperangan yang dijangka akan tiba sedikit masa lagi hanyalah satu Maha Khayalan?

Dalam tempuh beberapa tahun lalu harga makanan, ubatan dan semua barang-barang keperluan telah melambung. Itu pun tak terkawal sampai sekarang. Apa punya pendekatan tatapemerintahan tu?

Masyarakat Malaysia bukan sekadar menghadapi masalah perkauman dan keagamaan, malahan kini garis kelas semakin ketara pada konflik sosial. Masyarakat Melayu, khususnya, dah berkecaian.

Apa daya pertahanan yang ada pada Malaysia? Dan pada masyarakat Melayu apa yang ada? Orang-orang kayaraya dalam Umno?

Malaysia dan bangsa Melayu adalah colonisable, yakni boleh ditakluk, barangkali dengan mudah.------a. ghani ismail, 11 Aug 2012

No comments:

Post a Comment