Friday, September 14, 2012

Melayu/Malaysia Dalam Galaxy Gutenberg



Ekonomi adalah perkara asas yang bukan boleh kita serahkan bulat-bulat kepada umarak (pentadbir) seperti yang sebilangan ulama Pas mahu melakukan. Mereka beromongan mengenai undang-undang syariat dan akidah sementara keperihalan pembangunan, agihan pendapatan, perkarangan kewangan, mata wang, fiskal, dagangan dan sebagainya, yang terletak pada bidang muamalat dan tadbir manzil, oleh mereka dipertanggungjawabkan kepada umarak.

Sikap sepertinya mungkin sesuai dengan negara pertanian. Meskipun perolehan industri Malaysia telah susut berbanding pendapatan daripada sumber-sumber utama, Malaysia bukan sebuah negara pertanian lagi.

Model ekonomi yang dipilih, justeru, adalah kewajipan utama bagi pemimpin, yakni Perdana Menteri, kerana beliaulah yang menentukan model dan seterusnya, susunan ekonomi dan masyarakat.

Model pilihannya menentukan apakah negara akan maju atau tidak, apakah pembangunan yang diutarakan sustainable atau tidak dan apakah masyarakatnya adil atau tidak.

Pada zaman Tun Abdul Razak sebilangan intelligensia negara termasuk mahasiswa mirip ke arah Sweden dan New Zealand sebagai model negara, ekonomi dan sosial untuk masa depan Malaysia. Kedua-duanya adalah Welfare State, muamalat yang kurang diminati Dr Mahathir Mohammad yang kemudian berkuasa sepanjang 22 tahun.

Jepun dipertimbangkan akan tetapi model ekonomi yang oleh Dr Mahathir dipilih itu kurang disenangi kerana masyarakat Malaysia, khusus Melayu dan Bumiputera, tak mungkin dibandingkan dengan masyarakat Jepun yang telah menyusun Zaibatsu mulai zaman Edo dan bila Revolusi Industri mencabar, Jepun segera berubah ke arah negara yang moden melalui Restorasi Meiji 1867/68 dan seterusnya membina serangkai Zaibatsu supaya menjadi benteng ekonomi dan pembangunan industrinya.

Pada masa yang sama Tanah Melayu berada dalam zaman yang oleh Haji Abdullah Hukum dinamakan ‘Zaman Keris dan Pemuras’, satu persaingan untuk sumber bijih timah dan emas di antara pakatan-pakatan Melayu-Cina yang berperang dan membuka lorong British berkuasa melalui Sistem Residen mulai 1874.

Zaibatsu adalah seumpama hawala, yakni rangkaian kewangan yang membawa biaya dan dana dagangan dan industri berpusat pada sebuah keluarga ningrat atau ghazi (warlord) dan bergerak seperti penjaringan yang saling bergantungan, contohnya yang satu menjadi pembekal kepada yang lain dalam industri-industri dan dagangan yang diceburi.

Mitsui, Mitsubishi, Sumitomo, Yasuda semuanya berasal sebagai Zaibatsu.

Setelah tewas dalam Perang Dunia Kedua Jepun perlu tunduk pada kemahuan Am erika. Amerika kurang senang dengan sistem ini kerana iannya mudah beroleh kuasa monopoli disamping kurang mengimpot barang-barang intermediate. Jepun membuat sendiri apa yang boleh dibuat olehnya.

Maka sebilangan Zaibatsu dihapuskan sementara Jepun berkalih kepada sosialisme seketika sebelum merombakkan Zaibatsu supaya melahirkan Keiretsu.

Keiretsu sama saja darihal perangkaiannya dengan Zaibatsu akan tetapi berpusat pada sebuah bank dan rangkaiannya tersusun secara vertical dan horizontal.

Mahathir terokai jalan Keiretsu. Itu contoh Jepun.

Korea Selatan yang sosialis melahirkan Chaebol, yakni seumpama Keiretsu yang dana asasnya adalah pinjaman kerajaan akan tetapi bukan berpusat pada sebuah bank.

Contoh inipun Mahathir ikuti. Malahan, beliau cuba apa saja asalkan beroleh untung dan dapat membangun dengan sepintas petir, atau lebih cepat, yakni buat hari ini siap semalam, jika boleh.

Bersama Taiwan dan Singapura, Korea Selatan ketika itu sudahpun muncul sebagai salah sebuah Harimau Asia. Banyak negara memilih jalan Pandang Ke Timur pada masa itu dan Mahathir konsisten, bahkan beliau menuju terus ke arah Japan Incorporated dengan wawasan Malaysia Incorporated yang sampai sekarang beliau mahu mengejari.

Pulau Shakalin

Namun, ramai pemerhati kurang senanghati. Melayu, Bumiputera dan lain-lain kaum Malaysia tidak punyai sejarah dan semangat Jepun, bangsa Timur bertubuh kecil yang membuka mata dunia apabila berjaya menewaskan tentera laut Rusia di perairan Shakalin tanggal 1906.

Kata mereka Mahathir dah lupa ke diri. Tanpa sebarang asas perpaduan fikiran yang kukuh dan dengan terdapat sembilan orang Raja yang di antara mereka tidak pun mampu bersetuju sehubungan bila nak mula berpuasa dan nak berhariraya, bangsa Melayu tak akan mampu mempelopori perubahan segagah yang telah dicapaikan Jepun dan Korea Selatan dengan cara yang mereka melakukan.

Kemajuan seperti yang mereka mencapai memerlukan nasionalisme dan perpaduan fikiran yang mantap dan kental. Maka di Malaysia sebilangan pemikir terus menyeru supaya negara amalkan sosialisme Buruh dulu dan ikut cara Jepun dan Korea Selatan kemudian.

Mahathir, kata mereka, harus kenang taraf pelajaran Melayu dan Bumiputera sebelum melaju macam peluru untuk merombak Melayu dan Malaysia.

Persekolahan Melayu hanya bermula pada abad ke 20! Sandaran dasarnya pula adalah untuk mengajar ‘supaya anak-anak petani dan nelayan [Melayu] akan menjadi petani dan nelayan yang lebih baik.’

Sehingga dasar pendidikan dapat ditempah sendiri melalui Laporan Razak 1956, itulah dia dasar pendidikan yang terhidang untuk anak-anak bangsa Melayu di Tanah Melayu.

Pada sidebar Blog Naningku (sini) terdapat gambar dua buah sekolah Melayu. Sekolah Changkat Larang dekat Batu Gajah, Perak, didirikan pada tahun 1948. Bangunannya hanyalah bumbung, tiang dan lantai. Guru-guru sukarelawan.

Sampai tahun 1975 bangunan sekolah Melayu seperti itu masih banyak pada kampung-kampung di Terengganu. Kalau hujan murid-murid basah kuyup.

Maka kita perlu bertanya apakah perubahan budaya boleh disegerakan dalam konteks sebuah masyarakat Melayu dan Bumiputera yang terbiar seperti itu?

Pada Hikayat Pelayaran Abdullah kita punyai gambaran taraf dan kualiti hidup kelumpuk-kelumpuk Melayu, khusus di Pantai Timur. Pada hakikatnya gambaran itu tidak banyak berubah pada abad ke 20 sebelum kemerdekaan meskipun sebuah jalanraya telah dibina yang menghubung Kuala Lumpur,Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu, Kelantan.

Bolehkah kita percaya anak-anak bangsa yang hanya mampu beroleh persekolahan yang sedaif itu akan berjaya merombakkan cara hidup dan kesederan (consciousness) mereka dalam tempuh 30 tahun, ataupun dalam masa 70 tahun jika tidak didahului dengan perubahan serta amalan ideologi yang sesuai? Jika boleh, mana contohnya?

Persekolahan yang membolehkan anak Melayu memanjat sampai ke peringkat atas (tertiary) adalah melalui persekolahan Inggeris atau persekolahan Pondok, yakni persekolahan Arab yang oleh Tok Kenali hendak dijadikan persekolahan tiga bahasa - Melayu, Arab dan Inggeris akan tetapi tidak mendapat sambutan.

Pada rantauan tahun 1927, yakni sewaktu mobil pertama (jenama Austin) sampai ke Pasir Mas, Kelantan, terdapat beberapa orang Melayu di sana yang memberikan kereta itu rumput untuk makan, menurut ceritanya. Itu satu lukisan taraf budaya dan informasi pada zamannya di daerah tersebut yang merupakan bandar kecil.

Pada tahun 1977 di Dabong, Kelantan, para penduduk, sewaktu mera’ikan kunjungan Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah, memainkan muzik berentak dengan mengetuk kayu yang dipaku pada buah-buah kelapa kosong.

Demikian kilasan taraf budaya sebilangan Melayu pada tahun tersebut.

Di sebilangan Rumah Panjang Sarawak masih terdapat tengkorak-tengkorak moyang dibunuh yang dijamu kuih-muih. Itu dia kilasan budaya sebilangan Bumiputera Malaysia sampai sekarang.

Maka Tun Razak memilih untuk mendakap ideologi Buruh (Labor) dulu dan sementara itu, segera memberikan pendidikan terbaik mungkin untuk anak-anak bangsa dan merombakkan masyarakat dengan membuka peluang sampai ke aras tertinggi untuk Melayu dan Bumiputera khasnya dan lain-lain kaum pada yang am.

Melalui rancangan Felda pula segolongan Melayu dan Bumiputera yang menjadi peneroka ditanam perlahan-lahan dengan aturcara dan etika kerja berkelumpuk dan seterusnya ideologi Buruh evolusioner, bukan revolusioner.

Tun Razak menaruh harapannya pada Pemuda Umno dan di Morib tahun 1975 beliau menanam penglihatan dan pendekatannya. Malang sekali, pemergian beliau ditempah ilahi berjadual lebih kurang setahun lagi.

Tampil Dr Mahathir pada tahun 1981. Darihal pendidikan anak-anak bangsa Mahathir pantas. Oleh beliau dikirim lebih kurang 20,000 pelajar ke seberang laut setiap tahun untuk mempelajari segala bidang yang diperlukan, di antaranya bidang hidrokarban yang sekarang bergemerlapan dalam parti Pas macam Bintang-Bintang Ketika Di Langit Hijau.

Mahathir berjaya. Syabas bradder! Tanam pada UMNO jasanya hidup jiwanya pada Pas. SYABAS!

Pada dada pertiwi Dr Mahathir buka peluang istimewa bagi anak bangsa pada semua universiti-universiti awam sementara yang bukan Bumiputera beroleh ruang pada universiti-universiti swasta. Ini perlu dilakukan.

Mahathir, yang jadi PM pada tahun 1981, ada sekitar sembilan tahun saja sebelum genap masa untuk memajukan Melayu dan Bumiputera menurut lunas-lunas Dasar Ekonomi Baru (DEB) agar Malaysia mungkin menerokai satu rupa bangsa.

Walau demikian, lazimnya orang ramai kurang percaya Mahathir akan menuju ke arah melahirkan anak semua bangsa di Malaysia kerana jiwa nasionalis Melayu pada beliau terus pekat, satu sikap politik yang praktikal dalam konteks pelbagaian kaum, kongsi kuasa dan ceriterawara sejarah.

Lawan Masa

Kita berlumba melawan masa. DEB terhad pada 1990. Itu satu kesilapan yang Mahathir cuba ubah dengan membawa Just Faalan dan Rais Saniman supaya kaji keperihalannya dan mereka syor supaya DEB diteruskan sepanjang 10 tahun lagi, yakni sampai 2000.

Itu tak menjadi satu solusi. Masa tambahan tentu sekali bukan solusi untuk satu keperluan pembaharuan budaya dan mind-set dalam konteks kemajuan teknologi yang hebat. Keperihalan pembangunan masyarakat sisa penjajah yang terbiar bukan boleh disamakan dengan bolasepak yang mungkin menggunakan masa tambahan.

Teknologi digital dan ICT yang menggabung berbagai media, dengan ada Internet pula, menempah satu lagi galaxi baru sepertimana ciptaan Mesin Cetak Bergerak oleh Gutenberg pada tahun 1440 telah merombakkan dunia dengan membolehkan percambahan informasi dan pandangan (opinion) yang menghakiskan monopoli informasi dan pendapat yang masa itu dikuasai Gereja di Barat. Gerakannya membawa kepada perpisahan Gereja dan Negara.

Sekulerisme membebaskan pemikiran Barat dan sekularisme, bukan agama, adalah tenaga yang memajukan budaya saintifik dan teknologi ke arah kemajuan industri dan semua bidang sains sosial dan humanis seperti pendidikan, kesihatan, seni dan sastera. Ini membawa masyarakat ke arah agihan pendapatan dan kemajuan taraf hidup yang kita menyaksikan.

Pemikiran sekularisme itulah juga yang menjadikan hak asasi manusia dan kebebasan civil sebagai keunggulan-keunggulan akhlak dan keunggulan-keunggulan belia (ideals of youths) dalam kandungan masyarakat demokeratik yang diperjuangkan zaman berzaman ke arah mencapai keadilan sosial dan masyarakat dunia yang egaliter.

Ianya adalah keunggulan belia, the ideals of youths, yang terus terbawa daripada Revolusi Amerika dan Persancis sampai sekarang dan telah menyalakan obor dalam Arab Spring di masa ini.

Hembusan berbau kesturi ini berlaku di dalam dunia yang sama sekali tidak adil darihal agihan pendapatan, milik harta, kemudahan dan agihan makanan.

Kualiti pemakanan binatang belaan di Barat adalah berpuluh kali lebih baik daripada kualiti pemakanan lebih dua bilion manusia daripada 7.3 bilion yang bernyawa pada bumi di masa ini.

Mahathir terdampar pada ketidakadilan sosial (social inequality) di dunia yang beliau sendiri kerap membantah. Mahathir, kerana beliau memburu perubahan yang laju macam ribut, telah memilih untuk merumuskan kuasa dengan mendirikan elita yang kaya di bawah takluknya sendiri.

Beliau ambil langkah-langkah yang menggeram untuk menyiku sistem perpisahan kuasa Montesqueue, yakni perpisahan di antara kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman, satu langkah yang melawan arus kerana dengan kemajuan ICT yang menjadi kuala pertemuan di antara berbagai teknologi yang termuat dalam multimedia dan Internet, yang paling utama dalam kesedaran atau consciousness para penggunanya adalah kebebasan (liberty), ketelusan (transparency) dan kerahsiaan peribadi (anonymity) kerana alat-alat komunikasi digital ini tidak memberi sebarang ruang rahsia dan privasi peribadi.

Mahathir melawan arus yang beliau sendiri menempah di Malaysia dan tahu selok-beloknya. Mahathir telah membawa ke mari pakar-pakar dunia komunikasi maklumat dan mereka membantu beliau, barangkali kerana beliau, sebagai seorang pemikir yang saintifik, mudah menanggap raksaksa teknologi yang membangun dan yang membawa galaxi Gutenberg Baru dan yang bakal membawa perombakan budaya dan geopolitik lebih besar daripada perombakan yang berlaku akibat Revolusi Industri dan ciptaan kapal tenaga wap.

Mahathir tentu tahu tapi Mahathir buat juga.

Tanpa sebarang ideologi sekuler yang asas dan yang membolehkan perpaduan secara yang melampaui perbatasan keturunan bangsa dan agama, Mahathir kesudahannya tertiarap di hadapan gelombang yang jauh lebih besar daripada 1001 avatar Mahathirem.

Kontrektor Berwibawa

Di antara langkah paling dikesali yang oleh Mahathir diorak adalah sehubungan Kontrektor Berwibawa, yakni satu program untuk kontrektor terpilih menjadi cepat kaya dan yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Mahathir menggunakan skim ini untuk mendapatkan sebilangan kontrektor yang dijadikan kaya melalui ‘kontrek nego’ (‘negotiated tender’) dan seterusnya sebilangan di antara mereka, juga oleh Mahathir, digalakkan bergerak di dalam Umno sebagai member-member elita kaya.

Mereka beli undi dari peringat cawangan sampai ke peringkat bahagian. Mereka tabur wang sampai ke peringkat Majlis Tertinggi, membuat Timbalan Presiden Umno dulu, Pak Ghafar Baba, pernah berkata ‘ ...kalau begini kenapa tidak lelong saja kerusi PM?’.

Mereka ini hampir semua adalah kontrektor Ali-Baba. Yang bukan Ali-Baba hanyalah beberapa kerat saja, kurang 15 daripada jumlah lebih 300 yang berjaya menjadi kaya.

Mahathir adalah strongman. Orang Umno segan padanya dan kerana itu mereka sorok-sorok perbuatan “money politics” yang bermakna jual-beli undi, atau rasuah.

Apabila Mahathir gugur dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dulu dikenali ramai sebagai ‘Pak Lah’ menjadi Presiden, pada pilihan Majlis Tertinggi Umno tahun 2004 transaksi undi perwakilan telah jadi macam pasaran jam tangan palsu di Chow Kit, bebas dan terbuka, serta larislah.

Umno jahanam akibatya. Sudahlah tak ada ideologi asas, inikan pula sudah samasekali tidak ada amanah dan tak ada perasaan malu memecah amanah bangsa.

Kata beberapa orang tokoh yang menjadi ahli Majlis Tertinggi parti kebangsaan Melayu itu, perbuatan membeli-belah undi perwakilan ‘bukan rasuah’ kerana ianya berlaku sesama ahli-ahli parti itu, bermakna Umno telah menjadi hak elita kaya yang rasuah kerana bukan semua ahli-ahli Majlis Tertinggi terlibat dalam amalan buruk itu.

Perbuatan sepertinya tetap bongkak. Mereka samasekali tidak pedulikan nilai dan pertimbangan masyarakat, kelabu mata semata-mata kerana Umno telah menjadi saluran kekayaan kerana Malaysia sudah menjadi telaga emas untuk pihak berkuasa meskipun masih jauh daripada tangga Negara Maju yang Korea Selatan telah mencapai dalam tempuh 16 tahun saja.

Hasilnya Umno tidak lagi bahtera perjuangan yang unggul, tidak lagi perjuangan yang menjiwai semangat kemerdekaan dan perjuangan untuk mengisikan kemerdekaan itu dengan pembangunan, kemajuan, kemakmuran yang adil supaya mampu melahirkan sebuah bangsa berbudaya baik yang berupaya berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan semua bangsa-bangsa di dunia.

Pendekata, Umno sudah hampir tidak relevan kepada perjuangan bangsa dan negara pada generasi baru. Umno kurang relevan kepada belia dan khususnya bagi mereka yang termuat dalam galaxi Gutenberg Baru, Umno sama sekali tidak membayangkan perjuangan ke arah mencapaikan keunggulan-keunggulan belia sedunia, the ideals of youths the world over.

Umno perlu ditempah semula, reinvention dan rebranding.

Satu Malaysia PM Najib dah kena dengan masanya. Yang perlu disoal adalah mampukah Transformasi Najib Tun Razak menghidupkan Umno dan BN sebagai pelopor perjuangan bangsa-bangsa Malaysia dalam perkarangan Galaxi Gutenberg Baru yang bersifat global? Atau apakah Najib hanya mampu menempah kemenangan tipis seperti March 2008 dan berikutannya menghanyut.

Johor pun bukannya milik Umno yang tak tercabar pada pilihanraya kali ini.

Lebih 72 peratus daripada para pekerja berpendapatan RM 1500 sebulan atau kurang. Ini adalah 55 tahun selepas merdeka!

Kerana harga barang-barang keperluan telah melambung dalam tempuh tiga tahun ini, pendapatan mereka tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup keluarga melainkan pasangan mereka bekerja dan beroleh pendapatan yang sebandingan, yakni jika RM 1000 ke atas. ,br />
Harga Ikan Merah sudahpun melebehi RM40.00 dan Ikan Tenggiri berharga RM38 sekilo semalam. Perut cakitlah!

Model ekonomi yang lama dah tak terpakai.

Inilah cabaran utama Najib, yakni isu bread and butter yang menjadi sangat sensitif kerana kes-kes rasuah mega dan pembaziran sudah pun menjadi adat. ,br />
Wanita Utama Rosmah diberitakan telah memesan cincin berlian berharga RM atau US 24 juta. Perkara ini tak diurus dengan bijak.

Gaji KSN yang dicadangkan adalah RM 60,000 sebulan manakala gaji AG RM80,000 sebulan. Adil?

Shahrizat? Oooooh!

Benteng BN, Pahang, pun akan ditembusi.

Kemenangan BN lebih bergantung kepada Sabah dan Sarawak yang punyai 51 kerusi parlimen. Jika rasa berkalih pada pendalaman di sana.....adoi!

Kalau tak ada perubahan ideologi dan model ekonomi/sosial yang mampu membawa keadilan sosial, walau BN menang pada pilihanraya umum ke 13, BN akan tewas pada pilihanraya umum ke 14. - a. ghani ismail, 12 April 2012.



(Bersambung)

No comments:

Post a Comment